Ahad, 5 September 2010

Program Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-Anak Yatim Darul Aminan


















Majlis Berbuka Puasa Tahunan PKR Ampangan Bersama Anak-Anak Yatim Darul Aminan


Pada 24hb Ogos 2010 sempena dengan bulan Ramadhan al-Mubarak, pihak Parti Keadilan Rakyat DUN Ampangan dengan kerjasama Majlis Muafaakat Rakyat (MMR)nya telah menganjurkan program Majlis Berbuka Puasa Tahunan Bersama Anak-Anak Yatim Darul Aminan. Pada amnya, objektif utama program Majlis Berbuka Puasa Tahunan ini adalah untuk mengimarahkan bulan ramadhan, meraikan semua anak-anak yatim yang tinggal di Darul Aminan dibawah pengurusan/pengawasan Tn. Hj Kamalul Arifin dan juga warga kerja Darul Aminan, seterusnya untuk merapatkan ikatan ukhwah silaturrahim sempena dengan bulan Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan.

Majlis ini telah dihadiri beberapa pimpinan PKR Cabang Seremban dan juga Y.B Pakatan Rakyat kawasan Parlimen Seremban. Di antara yang hadir ialah Dr. Ahmad Azam (Ketua PKR Cabang Seremban), Y.B Rashid Latiff (ADUN Ampangan), Y.B Aminuddin (ADUN Sikamat) dan juga Y.B John (Ahli Parlimen Seremban).

Program bermula jam 5.00 petang lagi dimana Y.B Rashid sendiri dan ahli-ahli Majlis Muafakat Rakyat (MMR)nya telah mengadakan gotong royong bagi menyediakan juadah dan makanan untuk berbuka. Atur cara program ialah berbuka puasa dan di ikuti dengan solat Maghrib berjemaah, ucapan alu-aluan dan sumbangan daripada Y.B Rashid dan seterusnya solat Isyak dan Terawih berjemaah.

Namun begitu setelah selesai memberi sumbangan,Y.B Rashid terpaksa meninggalkan majlis dan gegas pula ke Makam Hj. Dol Said kerana beliau mahu mengziarahi satu pengebumian rakan beliau yang sebelum ini menetap di Kg. Ismail, Ampangan. Kg.Ismail ini juga adalah merupakan tempat lahir kepada Y.B Rashid Latiff.

Y.B Rashid didalam ucapannya ada membicarakan tentang ‘Kelebihan-Kelebihan Bulan Ramadhan dan tanggungjawab anak-anak di Darul Aminan ini agar lebih focus dan tidak lalai terhadap pelajaran. Di antaranya isi-isi penting yang di maklumkan oleh Y.B Rashid ialah mengingatkan anak-anak di Darul Aminan agar menafaatkan usaha dan meneruskan momentum bulan suci Ramadhan dengan memperbanyakan membaca Al-Quran bagi meningkatkan ketakwaa kepada Allah S.W.T.

Program Majlis Berbuka Puasa Tahunan bersama seperti ini juga merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Seremban amnya dan PKR DUN Ampangan khususnya untuk memotivasi anak-anak agar lebih tekun dan bersungguh-sungguh untuk belajar, termasuk juga untuk meningkatkan rasa percaya dan mempunyai keyakinan diri yang tinggi dalam membekali diri menghadapi cabaran-cabaran di masa hadapan dengan lebih baik.

Anak-anak yatim ini adalah merupakan sebahagian dari generasi penerus kita, oleh yang demikian anak-anak ini perlu lebih didorong minat belajarnya, agar dapat bersaing sebagaimana anak-anak yang lain. Melalui program Majlis Berbuka Puasa bersama seperti ini, diharapkan anak-anak kita ini lebih berrmotivasi dan mampu bersaing dengan anak-anak yang tinggal bersama orang tuanya sendiri. Akhir kata Y.B Rashid, MMR DUN Ampangan serta Pimpinan Parti Keadilan Cabang Seremban mendoakan agar segala urusan bagi Darul Aminan di permudahkan oleh Allah S.W.T. Insyaallah.

Disediakan oleh : Nor Haizily Jalaludin S/U MMR DUN Ampangan